Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
NBD-Thailand komited kukuhkan hubungan erat, cemerlang
29/04/2024

hm_2904243.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Santap Rasmi Tengah Hari yang dihoskan oleh Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin sempena Keberangkatan Rasmi ke Bangkok, Thailand. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dengan menzahirkan kegembiraan kerana dapat melawat Thailand sekali lagi khususnya dalam menyambut Ulang Tahun Ke-40 Hubungan Diplomatik antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Thailand. 

Kebawah DYMM seterusnya bertitah mengimbas kembali perkembangan pesat yang telah berlaku di Thailand semasa lawatan-lawatan ke negara berkenaan, baginda menambah bahawa 'Amazing Thailand' telah berubah menjadi sebuah ekonomi bandar dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan sehingga membawa kemakmuran ekonomi dan pembangunan kepada rakyatnya. 

Oleh itu, Kebawah DYMM percaya Thailand akan terus mencapai kemajuan yang lebih besar ke arah 'Wawasan 2030' dalam menjadi hab perindustrian global. 

Memandangkan tahun ini menandakan empat dekad persahabatan antara NBD dan Thailand, Kebawah DYMM menekankan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk mencerminkan pencapaian bersama dan merancang hala tuju ke arah masa hadapan yang lebih baik. 

Dalam hal ini titah baginda, NBD berharap untuk meneruskan hubungan yang erat dan cemerlang ini, ditandai dengan sikap saling hormat menghormati dan mempunyai persefahaman bersama, serta untuk bekerjasama dalam melindungi dan menjaga aspirasi yang sama bagi kedua-dua buah negara. 

Ke arah ini, Kebawah DYMM berbesar hati dengan hubungan Brunei-Thailand yang telah diperkukuh lagi melalui pemeteraian dokumen-dokumen pada keberangkatan baginda kali ini yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua buah negara. 

Di samping itu titah baginda lagi, NBD juga mengalu-alukan untuk bekerjasama rapat di bawah inisiatif 'Enam Negara, Satu Destinasi' yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Srettha Thavisin yang akan mengukuhkan industri pelancongan. 

Menyentuh mengenai kerjasama serantau, Kebawah DYMM bertitah menjelaskan bahawa NBD juga bekerjasama rapat bersama Thailand dan Negara-negara Anggota ASEAN lainnya bagi memajukan usaha-usaha pembinaan komuniti ASEAN, khususnya dalam mempromosikan keamanan, keselamatan dan pembangunan serantau. 

Sebelum mengakhiri titah, Kebawah DYMM mendoakan kejayaan, kemajuan dan kemakmuran yang berterusan kepada Perdana Menteri dan juga rakyat Thailand. 

Sementara itu, Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Thailand semasa menyampaikan ucapan, antaranya menyatakan bahawa kepimpinan Kebawah DYMM amat dihormati di seluruh dunia sebagai monarki yang paling lama memerintah di dunia. 

Oleh itu tambah Tuan Yang Terutama, Kebawah DYMM juga telah menjadi inspirasi kepada para pemimpin dunia, hasil iltizam baginda yang tidak mengenal erti penat lelah terhadap pembangunan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk NBD sepanjang pemerintahan baginda selama 57 tahun. 

Sebelum berangkat balik dari Government House, Kebawah DYMM disembahkan dengan ucapan selamat berangkat daripada Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Thailand.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​